September 21, 2012

NUR TUHAN

Nur Tuhan

Dia masih lagi bekerja dengan meja tulis dan komputer riba. Alam sekeliling sudah tidak lagi menarik perhatiannya. Sudah empat jam dia begitu. Badannya tegak bersandar di kerusi sambil matanya lurus memandang skrin. Tangannya pula sejak dari tadi cergas menekan-nekan sesuatu. Sejenak kemudian, kedengaran jeritan kecil dari bibir si gadis itu.

“Yes!!! Tinggal sikit je lagi...”
Lebar senyuman yang diukir mampu memancarkan riak-riak kegembiraan yang jelas pada wajahnya. Kini, penulisan yang selama ini diusahakan telah siap hampir seratus peratus. Tinggal lagi gaya bahasanya sahaja yang perlu diperhaluskan. Mana-mana susunan ayat yang dirasakan kurang elok sedang diteliti. Tatabahasa dan penggunaan istilah dalam ayat juga mesti tepat. Kesemua unsur itu harus dititikberatkan. Jika tidak, hasilnya nanti akan kurang menyerlah.

Mungkin bagi sesetengah orang, lima jam melakar idea dihadapan komputer sudah cukup untuk membuat tegang urat-urat saraf kaki dan tangan. Tetapi tidak sesekali bagi gadis ini. Aktiviti membaca dan mengarang sudah begitu sebati dalam dirinya. Malah ia sudah dianggap sebagai salah satu daripada aktiviti-aktiviti wajib tatkala ada masa terluang. Sekalipun penat, hasilnya nanti bakal mendatangkan kepuasan.

Pada malam itu tanpa sedar, dia sebenarnya bakal membawa pembaca ikut serta bersama watak-watak rekaannya mengembara ke suatu dimensi dunia yang berbeza. Dunia ciptaannya sendiri yang tak mungkin pernah wujud di alam yang nyata. Kalaupun ada, itu cuma kebetulan.

Dia harus segera menyiapkan cerpen memandangkan batas waktu baginya cuma berbaki kurang daripada dua puluh empat jam. Esok, dia harus menyerahkan karya itu kepada________, selaku editor majalah Hayat di sekolahnya. Lima jam sebelum itu, selesai sahaja solat maghrib tiga rakaat, dia terburu-buru melipat telekung dan sejadah lalu duduk dihadapan meja dan komputer ribanya. Tidak seperti kelaziman, dia berzikir dan berdoa setiap kali selepas solat. Tetapi kali ini dia tidak berbuat demikian. Hamba Allah itu benar-benar sudah meninggalkan rutin hariannya. Sengaja atau tidak, hanya dia dan Allah sahaja yang mengetahui.

“Nur, kenapa tak tidur lagi?”

Dia berpaling kearah datangnya suara. Nur Athirah tidak segera memberikan jawapan. Tangannya yang sejak dari tadi rancak mengetuk papan kekunci laptop pemberian umminya tiba-tiba terhenti. Jari-jemarinya yang runcing lantas diregangkan, batang tubuhnya dilenggokkan kekiri dan kekanan. Begitu juga dengan kepalanya. Dilentokkan sedikit dari kanan ke belakang, kemudian dari kiri kehadapan seakan-akan membentuk suatu bulatan.

KRRAAKKK....

Tulang-temulang lehernya sedikit berbunyi. Lega. Semua itu dilakukan berulang kali sementara tangan kanannya lembut memicit-micit bahunya, dengan harapan dapat menghilangkan sedikit keletihan pada tubuh. Itu memang menjadi kebiasaannya setiap kali selepas berada dalam satu posisi untuk tempoh yang agak lama. Sempat dia teringatkan kisah seorang wartawan suratkhabar The Nation di Thailand yang dibaca melalui majalah Reader’s Digest. Disebabkan terlalu sibuk mengejar deadline, kesihatannya hampir tergadai. Wartawan itu akhirnya menghidap penyakit acute transverse myelitis (ATM) dimana seluruh fungsi badannya bermula dari dada dan ke bawah berhenti berfungsi. Ini semua gara-gara terlalu ralit mengarang sehinggakan untuk mengubah posisi badan pun tak punya masa!

“Biar ummi picitkan.”

Nur tersenyum manis sambil menjawab. “Thanks ummi.”

“Nur tengah siapkan cerpen baru Nur. Sebelum esok Nur kena pastikannya siap. Sebab tula Nur tak tidur lagi mi...”

Puan Mahani berhenti seketika.“Nak ummi buatkan minuman?”

“Tak perlu mi, terima kasih. Cerpen ni pun dah hampir siap. Tinggal nak touch-up sikit kat mana-mana bahagian yang masih kurang...”

“Ok.”

“Kalau macam tu,pastikan lepas buat kerja ni terus masuk tidur. Adik dah solat Isyak?”

“Belum mi. Lepas siap kerja ni Nur solat ye...”

“Eloklah tu. Ummi rasa dah lewat ni. Ummi tidur dulu ye sayang.”

“Baiklah. Assalamualaikum ummi.”

“Waalaikumussalam.”

Selesai sahaja menunaikan solat Isyak, Nur lantas mempersiapkan dirinya untuk tidur. Matanya sudah tidak tertahan lagi. Belumpun sampai lima minit di atas katil bertilam empuk, kedua matanya sudah tertutup rapat. Begitu lena tidurnya pada malam itu.Ah, barangkali kerana keletihan.
 
Tok, tok, tok...
Tok, tok, tok...
Tok, tok, tok...

Entah sejak bila ketukan itu bertandang. Rasa bersalah segera menyelubungi jiwanya. Begitu tegarnya dia membiarkan tetamu menunggu lama diluar. Namun seketika kemudian rasa bersalah itu bertukar marah. Tidur nyenyaknya sebentar tadi tergendala gara-gara bunyi sumbang itu. Baru dia terfikir. Waktu sekarang sudah menghampiri jam dua pagi. Ada urusan apa datang malam-malam buta begini?

Lama dia membiarkan ketukan itu. Manalah tahu jika ketukan itu lama-kelamaan akan beransur pergi. Seminit dua berlalu. Tetap seperti itu juga. Tiada yang berubah, malah lebih rancak. Dalam keluhan itu, Nur terpaksa beralah dengan situasi. Langkahan kakinya perlahan menuju ke pintu. Bimbang jika derapan kakinya bakal mengejutkan ayah dan ibunya yang sedang nyenyak tidur. Dalam pada itu, terbit jua kebimbangan dalam dirinya, jika yang bertandang itu berniat jahat? Perompak, pembunuh atau perogol?

Dalam kerisauan itu, Nur menampakkan sebahagian kecil wajahnya ke tingkap kaca ruang tamu rumah. Dia mencari-cari di manakah kelibat makhluk Allah yang mengejutkannya dari mimpi indah sebentar tadi. Liar matanya menerawang ke setiap sudut. Hampir tiada yang menangkap perhatiannya.
Dalam keadaan malam yang semakin pekat, kelihatan seperti suatu lembaga sedang bergerak-gerak dan mengerang kesakitan dalam keadaan berbaring di atas lantai simen di halaman rumahnya. Darah merah mengalir keluar dari setiap luka-lukanya yang terbuka.

"Sepertinya ia kelihatan sengsara...”

“Tolong aku...”lembaga itu merayu.

“Baiklah, kau tunggu sahaja disitu. Aku ambilkan peti rawatan kecemasan sebentar.”

Sebaik sahaja membuka pintu, Nur kaget. Dihadapannya dia mengecam sesuatu. Sekujur tubuh, kulitnya yang sawo matang, kumis di wajahnya, jaket dan seluar jeans hitam yang dipakainya itu, seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Di dalam fikirannya dia seperti teringatkan sesuatu. Cahaya terang yang menyuluh kearah mukanya menjelaskan segala-galanya.

Qalbi!

Tubuhnya layu tak bermaya. Cecair merah pekat itu mengalir deras dari hidungnya dengan tiada henti. Nur menerpa ke arah Qalbi. Dipangku kembarnya itu dengan penuh rasa kasih, bimbang yang teramat. Bergetar hatinya hanya Allah yang tahu.

"Qalbi, katakan padaku, mengapa boleh jadi seperti ini? Lihat, tubuhmu kebiru-biruan. Kau banyak kehilangan darah. Ia amat parah. Kau harus dirawat segera!”

Nur menjerit meminta pertolongan abah dan ummi. Dia tekad. Jauh di sudut hati, Qalbi begitu bererti buatnya. Mendung, kemarau, panas, lapar dan dahaga, sakit, perih dan jerih, Qalbi senantiasa disisi. Kepada kembarnya jugalah tempat dia berkongsi rasa. Umpama tempat bertakung, kenangan suka dan duka dalam kehidupan Nur, dicurahkan juga kepada Qalbi. Kehilangan Qalbi bererti dia kehilangan separuh dari jiwanya.

Dalam perjalanan ke hospital:

Sedang Nur lemas dalam esak tangisnya sendiri, Qalbi cuba mengumpul kekuatan, seperti mahu mengatakan sesuatu.

"Nur..." Qalbi memulakan bicaranya dengan lemah. Bersungguh benar air mukanya berkerut menahan kesakitan.

" Jangan banyak bicara Qalbi, kau sedang sakit..."kelembutan jiwanya terserlah.
Air matanya tidak lagi terbendung. Diusapnya peluh-peluh dingin yang memercik di dahi Qalbi. Asalkan boleh, mahu dijadikan dirinya sebagai pengganti, menanggung segala kesakitan yang ada pada tubuh Qalbi. Kembarnya bersuara lagi. "Untuk mengubati luka-luka dalam di badanku aku hanya perlukan satu ubat. Namun aku bimbang. Ubat itu amat mahal lagi sukar didapati kecuali bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Ah, kau ni. Kita sekarang hidup di zaman moden yang penuh dengan kemajuan dan modenisasi. Apa sahaja yang kita mahu boleh kita dapatkan dengan wang. Kenapakah kau suka berbicara yang karut-marut? Jangan kau bimbang, ummi dan abah pasti akan membantuku mencari penawarnya.”

“Nur, jangan seangkuh itu! Kita memang tidak mampu membelinya. Hatta kalau ditukarkan dengan jambatan emas Puteri Gunung Ledang sekalipun, tetap juga tidak mampu. Akan tetapi tanpa ubat itu, hayatku akan semakin pendek. Kira-kira dalam enam bulam sahaja....dan selepas itu jika gagal, aku akan m___"

Belumpun usai bicara Qalbi, bagaikan mahu luluh jantung Nur. Pantas diletakkan dua jemarinya ke atas bibir Qalbi. Bimbang jika perkataan MATI itu menjadi kenyataan. Manakan mungkin Qalbi akan meninggalkannya? Tidak! Tidak mungkin akan terjadi. Nur seakan-akan tidak mahu menerima kenyataan. Dirinya masih kaget. Siapa jugalah yang sanggup membelasah tubuh kurus saudaranya sehingga luka berdarah sebegini. Berhati manusia atau berhati syaitan? Namun setakat pengetahuannya, Qalbi tidak suka bermusuh dengan orang.

"Jangan bimbang, kau pasti akan selamat. Bukankah kita telah berjanji bahawa aku adalah kamu dan kamu adalah aku? Kau adalah sebahagian dariku. Mana mungkin kita dapat dipisahkan kecuali dengan kuasa Allah..."kata-kata semangat terus ditiupkan kearah saudaranya.

Sambil tersenyum sinis lembaga itu pun mula berkata-kata. “Nur, mungkin ingatanmu sudah semakin kurang. Sebentar tadi selepas solat Maghrib kau sudah terlupa untuk berzikir. Barangkali kau terlalu sibuk dengan urusan duniamu!”

"Nur, mengikut fitrah kejadian, aku adalah sekeping hati (Qalbi). Penawarku adalah zikir. Tanpanya, aku akan mati. Dan tahukah kau bahawa sesungguhnya zikir itu adalah perbuatan yang sangat disukai Allah? Jangan sekali-kali kau tinggalkannya semata-mata mengejar dunia yang sementara!”

Daripada Muaz r.a ;Semasa aku berpisah dengan Rasulullah s.a.w dan aku bertanya, amalan manakah yang amat dicintai Allah? Sebagai menjawab Rasulullah bersabda, “Basahi lidahmu dengan zikrullah.”

Dan diantara yang lainnya Ibnu abbas r.a ada meriwayatkan, Baginda s.a.w bersabda; Demi yang diriku ditanganNya, jika segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa yang ada diantaranya dan apa-apa yang ada dibawahnya, diletakkan di sebelah dacing dan kalimah lailahaillallah, disebelah yang lain maka dacing kalimah itulah lebih berat.

“Afdholuz zikri fa’lam annahu lailahaillahllah. Ketahuilah akan dirimu bahawasanya zikir yang paling afdal adalah kalimah lailahaillallah. Tiada Tuhan melainkan Allah. Ucapkanlah selalu kalimah itu. Lihatlah, betapa zikirullah (mengingati Allah) itu sungguh besar pahalanya. Oleh itu, janganlah engkau tinggalkan walau sesaatpun dari mengingatiNya.”

“Aku merayu, bawakanlah penawar itu kepadaku. Amalkanlah ia selalu agar aku tidak mati. Bukankah dulu kau katakan mahu sehidup semati denganku? Bukankah kita telah berjanji ?Tentunya kau tidak sanggup melihat 'mayatku' terlebih dahulu diusung ke liang lahad? Aku bagaikan kembarmu. Aku yakin
kau dapat mencari penawar yang aku maksudkan. Dengan izin Allah, pasti aku akan dapat diselamatkan. Dapatlah kita senantiasa berpadu. Meniti hari-hari yang penuh bermakna bersama-sama. Menempuh nikmat dan ujian Illahi dengan penuh rasa sabar dan bersyukur.”

Mendengar peringatan itu, sedarlah dirinya akan keperluan kembarnya yang telah diabaikan.

"Maafkan aku Qalbi. Aku malu dengan diriku sendiri. Aku malu mengaku menyanyangimu sedangkan keperluan dirimu aku abaikan. Maafkanlah diri ini. Semoga Allah tetap membimbing kita ke arah jalan yang benar. Aku sedar akan kesilapanku. Sekarang juga akan kucari penawar buatmu wahai hati..."

Allahuakbar...
Allahuakbar...
Allahuakbar...
Allahuakbar...

Lembaga itu tiba-tiba bangun. Lukanya yang parah tadi juga sedikit demi sedikit beransur hilang. Dia membuka langkahnya, lalu membawa dirinya hanyut bersama kegelapan malam. Nur ditinggalkan terumbang-ambing seorang diri.
Seketika itu jugalah mata kuyu Nur perlahan-lahan terbuka. Sedikit demi sedikit. Merdu suara azan telah mengejutkannya dari tidur. Lega kejadian sebentar tadi bukanlah suatu realiti.

"Mimpi rupanya. Ah, bila pula aku ada saudara kembar?!"Nur bermonolog sendirian.

Sejurus selepas itu juga Nur seperti dapat menangkap sesuatu. Mimpi tadi semacam satu peringatan buatnya. Sedarlah akan dirinya yang selama ini lalai dari menjalankan tanggugjawabnya sebagai seorang hamba.
Usai menunaikan solat subuh, dikerjakannya pula sujud syukur. Dalam sujudnya, dia memanjatkan rasa terima kasih yang tidak terhinggga kepada Sang Pencipta.

"Masyaallah, Maha Suci Engkau Ya Allah...kau telah berikan taufik dan hidayahMu kepadaku. Inilah anugerah yang paling bernilai yang pernah aku terima. Ampunkan dosa-dosaku ya Allah. Di saat aku terlalai begitu cepat kau datangkan peringatan, sebelum aku tersasar lebih jauh. Rupa-rupanya Kau sangat menyayangi hambaMu. Segala puji bagi Allah.

Bermula dari saat itu, bibirnya tidak lagi lekang dari melafazkan kata-kata zikir.


 Ayatulhusna,
7 September, 2010 5:21:11 PM

No comments:

Post a Comment